Selamat Menyambut Maal Hijrah 1448H

Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kita masih diberikan nikmat usia, kesihatan serta kesempatan untuk melangkah dan menjejaki Tahun Baharu Hijrah 1448H.

Bersempena dengan ketibaan tahun yang penuh bermakna ini, saya bersama seluruh Jawatankuasa Kepimpinan IKRAM Negeri Johor ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1448H kepada seluruh umat Islam, khususnya kepada warga IKRAM Johor.

Peristiwa hijrah merupakan titik perubahan agung yang sarat dengan pengajaran tentang pengorbanan, keazaman, kesabaran dan pembinaan masyarakat yang berteraskan iman, ilmu serta akhlak mulia. Semangat hijrah ini mengajak kita untuk sentiasa memperbaharui diri, meningkatkan kualiti amal, serta melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih kukuh dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT dan berbakti kepada ummah.

Marilah kita menjadikan kedatangan tahun baharu ini sebagai pemangkin untuk memperbaharui tekad dan azam, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, mempererat ukhuwah, serta mempertingkatkan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita semua keberkatan, kesejahteraan, kekuatan dan istiqamah dalam melakukan kebaikan, serta menjadikan kita agen penyebar rahmat dan manfaat kepada seluruh alam.

Salam Maal Hijrah 1448H
“Membangun Ummah dengan Hikmah dan Rahmah.”

Haji Hermee Bin Tahir
Yang Dipertua,
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor.

View original post on Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *