🤝 KUNJUNGAN HORMAT IKRAM NEGERI JOHOR KE JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM) NEGERI JOHOR
18 September 2026, Jumaat – Jawatankuasa IKRAM Negeri Johor telah mengadakan suatu Sesi Kunjung Hormat ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor bagi memperkukuh hubungan serta meneroka ruang kerjasama strategik dalam usaha menyantuni keperluan keluarga, kanak-kanak dan masyarakat.
Kunjungan ini diketuai oleh Yang Dipertua IKRAM Negeri Johor, Hj. Hermee Tahir, bersama sebahagian barisan jawatankuasa IKRAM Negeri Johor dan telah disambut serta dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Tuan Hj. Ahmad Hashim bin Selamat, bersama pegawai-pegawai JKM Negeri Johor.
Antara perkara yang dikongsikan ialah cadangan kerjasama dalam aspek pencegahan, perlindungan kanak-kanak, pengukuhan institusi keluarga serta pemerkasaan peranan ibu bapa, termasuk cadangan Program Stay Safe untuk kanak-kanak dan Lelaki Qawwam untuk golongan bapa.
Delegasi IKRAM Johor turut memperkenalkan Yayasan IKRAM serta menerangkan potensi peranan dan sumbangannya dalam membantu masyarakat, khususnya ketika berlaku bencana dan situasi kecemasan. Pihak JKM Negeri Johor menyambut baik cadangan kerjasama tersebut.
Sesi berlangsung dalam suasana yang baik dan konstruktif, dengan kedua-dua pihak berkongsi pandangan serta mengenal pasti ruang yang boleh diterokai bersama demi kesejahteraan kanak-kanak, keluarga dan masyarakat.
Semoga jalinan hubungan erat antara IKRAM Negeri Johor dan JKM Negeri Johor ini dapat diterjemahkan melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembinaan Negara Rahmah, khususnya dalam merealisasikan tiga ciri utama, iaitu Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang; Institusi Keluarga yang Utuh; serta Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak JKM Negeri Johor atas kesudian menerima kunjungan serta keterbukaan untuk meneroka ruang kerjasama bersama IKRAM Negeri Johor.
#IKRAMJohor
#JKMJohor
#KerjasamaStrategik
#StaySafe
#LelakiQawwam
#YayasanIKRAM
