← Semua artikel

BANGUNKAN JIWAMU: SUNNAH DALAM MENJAGA KESIHATAN: PADA MAKANAN ATAU PEMAKANAN

BANGUNKAN JIWAMU: SUNNAH DALAM MENJAGA KESIHATAN: PADA MAKANAN ATAU PEMAKANAN BATU PAHAT, 6 November 2026 – Program Bangunkan Jiwamu bertajuk Sunnah Dalam Menjaga Kesihatan: Pada Makanan atau Pemakanan telah berlangsung di Pejabat IKRAM Batu Pahat-Seri Gading pada 6 November 2026. Seramai 40 peserta telah hadir mendengar perkongsian daripada Dr. Nor Fahmi bin Ahmad Bahuri, Pakar Anestesiologi dan Penjagaan Kritikal, yang juga merupakan ahli IKRAM Batu Pahat. Program anjuran IKRAM Kawasan Batu Pahat & Seri Gading ini bertujuan meningkatkan kesedaran ahli dan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang baik serta menghayati panduan sunnah dalam kehidupan seharian. Dalam perkongsian tersebut, peserta turut didedahkan kepada beberapa amalan harian bagi membina kesihatan berasaskan sunnah, antaranya menjaga waktu tidur, bangun awal untuk beribadah, mengekalkan aktiviti fizikal seperti berjalan pantas, mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis serta mengawal kuantiti makanan agar tidak berlebihan. Selain itu, kepentingan mengelakkan pengambilan makanan terlalu hampir dengan waktu tidur, mengurangkan penggunaan skrin dan mendapatkan rehat yang mencukupi turut ditekankan. Kesemua amalan ini mencerminkan bahawa kesihatan bukan sekadar bergantung kepada jenis makanan yang diambil, tetapi turut dibentuk melalui disiplin kehidupan seharian. Kesihatan sewajarnya dijadikan modal untuk memperkukuh ibadah dan meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT, bukan sekadar matlamat kehidupan semata-mata. Diharapkan program seumpama ini dapat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjadikan sunnah sebagai panduan dalam membina gaya hidup sihat, sekali gus melahirkan individu dan keluarga yang lebih sejahtera serta menjadikan kesihatan sebagai wasilah meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT. #BangunkanJiwamu #IKRAMBatuPahat #IKRAMSeriGading #IKRAMMudaBatuPahat

Lihat hantaran asal di Facebook