KUNJUNGAN HORMAT IKRAM NEGERI JOHOR KE JABATAN KESIHATAN NEGERI JOHOR (JKNJ) 🩺💚

KUNJUNGAN HORMAT IKRAM NEGERI JOHOR KE JABATAN KESIHATAN NEGERI JOHOR (JKNJ) 🩺💚
Rabu, 21 Oktober 2026 - Jawatankuasa IKRAM Negeri Johor telah mengadakan suatu kunjungan hormat ke Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Wisma Persekutuan bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam memperkasa kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di negeri Johor.
Kunjungan ini disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor sendiri, Dr. Hj. Mohtar bin Pungut @ Hj. Ahmad, bersama barisan pegawai kanan JKNJ. IKRAM Negeri Johor pula diwakili oleh Yang Dipertua IKRAM Negeri Johor, Hj. Hermee Tahir serta barisan jawatankuasanya, Pengerusi IKRAM Health Johor, Dr. Siti Kamariah Othman serta wakil Jawatankuasa Wanita IKRAM Negeri Johor.
IKRAM Johor memberi komitmen untuk terus menyumbang (melalui IKRAM Health Johor terutamanya) kepada pembangunan masyarakat yang lebih sihat melalui pendidikan kesihatan, advokasi dan khidmat komuniti berteraskan nilai Islam dan rahmah.
IKRAM Johor turut menyatakan komitmen untuk menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) melalui pelbagai usaha, antaranya meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat, memperluas akses kepada saringan kesihatan, mempromosikan kesihatan mental serta memperkukuh pendidikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak melalui modul Stay Safe.
Antara agenda utama yang dikongsikan dalam Kunjungan Hormat ini ialah perancangan Karnival Kesihatan 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 (Sabtu) di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai.
Karnival ini akan mengetengahkan pelbagai pengisian bermanfaat termasuk forum kesihatan mental, perkongsian bersama pakar dan pejuang kesihatan mental, pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat kaunseling, pemeriksaan gigi, ujian HIV tanpa nama, saringan TB, latihan CPR, explorace IKRAM Junior, pameran pemakanan sihat serta aktiviti interaktif untuk keluarga.
Semoga kunjungan ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara IKRAM Johor dan JKNJ, khususnya dalam menjayakan agenda kesihatan awam, memperluas intervensi awal, mengintegrasikan pendidikan kesihatan dalam pembangunan keluarga serta membawa program perlindungan kanak-kanak hingga ke peringkat akar umbi.
Semoga jalinan kerjasama ini menjadi langkah bermakna ke arah membina masyarakat yang lebih sihat, sejahtera dan prihatin, di samping melahirkan keluarga yang kukuh serta komuniti yang saling menyokong.
#IKRAMJohor
#IKRAMHealthJohor
#JKNJ
#ANMS
#KarnivalKesihatan2026
