Laporan Ringkas Program Kesedaran CPR "Learn & Feel CPR"

Laporan Ringkas Program Kesedaran CPR "Learn & Feel CPR"
Tarikh: 17 Oktober 2026
Tempat: Surau Amru Ibnu Al Ash, Taman Kempas Indah
Pada 17 Oktober 2026, telah diadakan Program Learn and Feel CPR dalam kalangan komuniti sekitar Surau Amru Ibnu Al Ash yang dianjurkan oleh Persatuan IKRAM Health Johor dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Negeri Johor dan Surau Amru Ibnu Al Ash.
Program ini merupakan satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memperkenalkan MyChampion selaku ejen kesihatan komuniti yang menitikberatkan budaya mengambil tanggungjawab yang aktif dalam menjaga kesihatan dan keselamatan komuniti.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Tuan Aminuddin bin Alias selaku Pengerusi Surau Amru Ibnu Al Ash. Sesi pertama program merupakan sesi teori 1 jam mengenai kepentingan dan kaedah melakukan CPR di samping menyelamatkan mangsa yang tercekik sebelum bantuan kecemasan tiba. Setelah itu, para peserta disajikan dengan sarapan pagi sebagai persediaan untuk sesi praktikal. Mereka dibahagikan kepada 5 kumpulan; setiap peserta mengambil peluang untuk mempelajari teknik yang betul dalam melakukan CPR serta menyelamatkan mangsa tercekik kanak-kanak dan dewasa diikuti dengan sesi hands-on ke atas manikin yang disediakan.
Peserta program yang hadir perlu melengkapkan ujian pra-program yang telah disediakan sebelum bermula sesi teori dan praktikal. Ketika sesi praktikal, jurulatih akan menilai teknik dan keyakinan peserta dalam melakukan CPR serta menyelamatkan mangsa tercekik mengikut langkah yang betul.
Program kali ini telah disertai oleh 36 orang peserta yang terdiri daripada penduduk sekitar Surau Amru Ibnu Al Ash dalam lingkungan umur 14- 60 tahun bersama 10 orang ahli jawatankuasa persatuan dan pertubuhan yang turut menimba ilmu dan pengalaman.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh Dr. Nasrul Hafiz, manakala sesi demonstrasi CPR dan menyelamatkan mangsa tercekik dikendalikan oleh jurulatih Persatuan IKRAM Health Johor iaitu Dr. Nasrul sendiri, Dr. Syukri, Dr. Awatif, Dr. Nurin dan Encik Adi.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kemahiran asas CPR dan langkah-langkah menyelamatkan mangsa tercekik demi menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.
Program diakhiri dengan ujian pasca program untuk menilai kefahaman peserta mengenai ilmu yang telah dikongsi sepanjang program separuh hari ini. Kami telah mendapat maklum balas yang baik daripada para peserta dari segi kefahaman dan keyakinan mereka dalam mengenalpasti, mendapatkan bantuan dan melaksanakan langkah-langkah menyelamatkan mangsa dengan pantas sebelum bantuan kecemasan tiba. Harapan kami melalui penganjuran program seperti ini adalah agar lebih ramai masyarakat celik tentang kepentingan pertolongan cemas dan mampu bertindak pantas ketika berhadapan dengan situasi kecemasan sekaligus membina komuniti yang lebih peka dan penyayang.
Disediakan oleh:
'AWATIF HASNI binti Ahmad Jamali
AJK IKRAM Health Johor
“Building A Healthy Nation with Rahmah”
